"Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik, maka menderitalah dia dan binasa"
- Imam Gazali
Remaja adalah golongan yang menjadi penentu jatuh bangunnya sesebuah masyarakat pada masa depan. Akan tetapi, kebelakangan ini, kita sering mendengar gejala sosial yang semakin berleluasa. Walaupun ini bukanlah satu isu yang baru, namun ia merupakan antara berita yang hangat paling dilaporkan. Apa yang membimbangkan ialah bilangan kes pembuangan bayi di kalangan wanita remaja semakin meningkat, malah ia sangat meruncing sejak akhir-akhir ini.
Kes pembuangan bayi kini makin menjadi-jadi hinggakan ada segelintir pihak yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat menutup segala palit hitam yang telah mereka lakukan hingga membunuh. Persoalannya, sampai bilakah kita akan mendengar berita bayi dibuang di tandas, di tepi longkang, di tempat pembuangan sampah, dan lain-lain tempat tanpa ada perasaan perikemanusiaan ini terus berlaku?
Perbuatan membuang bayi yang baru lahir dalam apa keadaan sekalipun dan ia mengakibatkan kematian bayi tersebut sebenarnya adalah pembunuhan. Sesiapa sahaja yang membuang bayi itu atau terlibat dengan perbuatan tersebut adalah melakukan pembunuhan dan salah dari segi agama dan tindakan undang-undang akan diambil. Tindakan terdesak sesetengah pasangan yang mahu menutup malu akibat perbuatan bodoh mereka adalah salah dari segi agama mahupun undang-undang yang telah digariskan oleh Perlembagaan Negara.
Kerajaan perlu mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan agar denda yang lebih berat dikenakan kepada pesalah. Kini, kita seharusnya melihat kes buang bayi perlu diangkat sebagai salah satu isu besar yang membawa kepada hukuman setimpal kepada pesalahnya. Ia layak disamakan dengan kes bunuh yang lain. Maka, pesalah yang terbukti terlibat perlu dibawa ke tali gantung. Sepertimana saranan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan agar bapa kepada bayi malang itu juga wajib diseret ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang sama.
Hukuman maksimum 20 tahun penjara tidak memberi kesan kepada ‘pembunuh bayi’ ini. Ini kerana, bayi yang dilahirkan sempurna sifatnya layak diiktiraf sebagai manusia normal yang mendapat perlindungan undang-undang seperti manusia lain. Kerjasama daripada pihak berkuatkuasa tempatan juga memainkan peranan penting dengan menubuhkan pasukan khas jika berlakunya kejadian pembuangan bayi bagi mengesan segera individu yang terbabit. Sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93, maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar"
Masyarakat harus sedar bahawa masalah sosial adalah masalah kita bersama dan memerlukan penyelesaian yang bersepadu dan terancang. Ia memerlukan strategi menanganinya melalui pelbagai pendekatan secara proaktif termasuk pendekatan keagamaan yang merupakan tunjang kerohanian bagi setiap individu. Elemen kerohanian seperti penerapan asas pendidikan agama yang kukuh juga perlu dititik berat dalam usaha untuk membendung masalah ini. Pendidikan agama yang sempurna hendaklah diberikan kepada anak seawal mungkin untuk membantu menunjukkan mereka ke arah kebaikan. Keimanan yang tebal mampu membuatkan para remaja menjauhi perbuatan yang melanggar hukum agama kerana mereka sudah boleh membezakan samada baik atau buruk sesuatu perkara.
Akhir kata, Setiap bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk terus hidup. Walaupun telah melakukan kesalahan pertama kerana melakukan seks sebelum berkahwin, tindakan menyelamatkan anak luar nikah yang dilahirkan adalah satu tanggungjawab sosial yang perlu dilakukan. Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama dalam usaha kita membanteras masalah ini dengan harapan untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan penyayang.
Allah S.W.T telah berfirman, "Kalian umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kalian menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah."
(Ali Imran: 110)
(Ali Imran: 110)
pictures credit to google images
No comments:
Post a Comment